SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1.5 juta bagi melaksanakan program kesihatan mental di sekolah termasuk inisiatif dikenali sebagai PeerZ bermula tahun ini.
EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata program berkenaan bertujuan memperkukuh tahap kesihatan mental dalam kalangan pelajar, dengan pelaksanaan awal membabitkan dua sekolah di Bandar Utama.
Menurutnya, inisiatif itu memberi tumpuan kepada pendidikan kesedaran, sokongan rakan sebaya dan pembangunan kemahiran emosi sekali gus membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih sihat serta berdaya tahan.
“Program ini juga menyediakan platform kepada pelajar untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan tekanan emosi bersama rakan sebaya dalam suasana yang lebih selamat dan kondusif.
“Melalui pendekatan ini, pelajar yang memerlukan sokongan awal akan menerima bantuan emosi dan bimbingan daripada rakan sebaya sebelum dirujuk kepada guru kaunseling sekolah atau profesional kesihatan mental sekiranya memerlukan,” katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kira-kira satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah mental.
Prevalens masalah kesihatan mental dalam kalangan penduduk negara ini turut meningkat hampir dua kali ganda berbanding 2019, iaitu sebanyak 4.6 peratus.
Berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), golongan kanak-kanak dan remaja juga tidak terkecuali daripada trend tersebut.
Statistik menunjukkan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berumur lima hingga 15 tahun meningkat daripada 7.9 peratus (424,000 orang) pada 2019 kepada 16.5 peratus (922,318 orang) pada 2023.








