Masalah pendengaran jejas perkembangan anak, waspada penggunaan 'earbud'

3 Mac 2026, 4:00 AM
Masalah pendengaran jejas perkembangan anak, waspada penggunaan 'earbud'
Masalah pendengaran jejas perkembangan anak, waspada penggunaan 'earbud'
Masalah pendengaran jejas perkembangan anak, waspada penggunaan 'earbud'

SHAH ALAM, 3 MAC: Masalah pendengaran pada kanak-kanak tidak boleh dianggap isu terpencil kerana ia boleh menjejaskan pertuturan, akademik, sosial, dan emosi mereka jika dikesan lewat.

Ketua Pusat Telinga, Pendengaran & Pertuturan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Cila Umat berkata ramai ibu bapa mengambil ringan dan terlepas pandang kerana masalah pendengaran tidak kelihatan secara fizikal.

Ketua Pusat Telinga, Pendengaran & Pertuturan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Cila. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

"Masalah pendengaran tidak nampak secara luaran, sebab itu ramai anggap ia bukan isu besar. Sedangkan tiga tahun pertama kehidupan adalah tempoh kritikal perkembangan otak dan bahasa anak.

"Jika lewat dikesan, anak boleh ketinggalan dari segi pertuturan, akademik malah aspek sosial dan emosi,” katanya dalam Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Beliau menambah, tanda awal yang perlu diperhatikan termasuk bayi yang tidak terkejut dengan bunyi kuat, tidak memberi respon terhadap suara atau bunyi sekeliling, serta gagal menyebut perkataan pertama pada usia setahun.

Justeru ibu bapa perlu peka dengan membawa anak mereka bagi menjalani saringan awal mengikut garis masa 1-3-6 iaitu saringan seawal usia sebulan, pengesahan diagnosis sebelum tiga bulan, dan intervensi selewat-lewatnya enam bulan.

“Setiap kelewatan intervensi akan memberi kesan jangka panjang. Lagi awal kita kesan dan rawat, lagi baik potensi perkembangan bahasa anak,” jelasnya.

Dr Cila turut menekankan bahaya penggunaan fon telinga tanpa wayar (earbud) dan fon kepala (headphone) pada tahap bunyi tinggi yang kini popular dalam kalangan anak muda.

“Sel pendengaran yang rosak tidak boleh tumbuh semula. Walaupun kita menggunakan alat bantu dengar atau implan, pendengaran itu tidak akan kembali seperti asal,” katanya.

Beliau menasihatkan remaja dan belia mengamalkan kaedah 60-60: maksimum 60 peratus tahap bunyi dan penggunaan tidak melebihi 60 minit pada satu-satu masa.

“Jangan tunggu sehingga pendengaran merosot baru mahu bertindak. Lindungi telinga kita sekarang kerana kerosakan yang berlaku adalah kekal,” tegasnya.

Apa reaksi anda?