Latih anak berpuasa ikut kemampuan, ganjaran dan aktiviti seni jadi kunci

2 Mac 2026, 1:00 AM
Latih anak berpuasa ikut kemampuan, ganjaran dan aktiviti seni jadi kunci
Latih anak berpuasa ikut kemampuan, ganjaran dan aktiviti seni jadi kunci

SHAH ALAM, 2 MAC: Kaedah pembelajaran secara praktikal dan interaktif menjadi pilihan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Selangor dalam memperkenalkan ibadah puasa kepada kanak-kanak seawal usia prasekolah.

Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor, Mahanom Basri berkata pendekatan berasaskan aktiviti seperti nyanyian, seni kreatif, permainan dan penceritaan membantu kanak-kanak memahami makna Ramadan dalam suasana santai serta menyeronokkan.

Menurutnya, kaedah itu lebih berkesan berbanding sesi penerangan semata-mata.

"Lebih 20 aktiviti telah dilaksanakan. Antaranya nyanyian lagu Opick, tampalan kolaj, bermain play dough membentuk simbol Ramadan dan hafalan niat serta doa dalam melodi tertentu supaya mudah diingat.

“Kanak-kanak tidak akan faham jika hanya mendengar. Mereka perlu pegang, lihat dan rasai sendiri supaya wujud kesedaran,” katanya kepada Media Selangor.

Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor Mahanom Basri menunjukkan buku log harian di Taska Bangunan Darul Ehsan Shah Alam pada 23 Februari 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan Kurikulum Prasekolah 2026 yang menekankan konsep ‘hands-on learning’ dalam proses pendidikan awal kanak-kanak.

Selain itu, katanya, aktiviti seperti bercerita kisah rasul, senaman ceria Ramadan serta program berbuka puasa dan infak bersama ibu bapa turut dilaksanakan bagi memberi pengalaman menyeluruh kepada kanak-kanak.

Galakan tanpa paksaan jadi pendekatan utama

Sementara itu, pengusaha Taska Fantasia Pelangi, Nurmazwani Abdul Rahim, 38, berkata pendekatan galakan tanpa paksaan menjadi kaedah utama dalam membimbing kanak-kanak mencuba berpuasa mengikut kemampuan masing-masing.

Menurutnya, kaedah tersebut lebih sesuai bagi kanak-kanak prasekolah yang masih dalam proses menyesuaikan diri dengan rutin baharu sepanjang Ramadan.

“Pihak taska menggunakan kaedah galakan dan tidak memaksa. Kami beri hadiah kepada kanak-kanak yang cuba berpuasa walaupun separuh hari seperti pelekat dan sijil berpuasa.

“Kanak-kanak akan lebih semangat dan seronok untuk teruskan berpuasa,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu dimulakan dengan penerangan asas mengenai bulan Ramadan sebelum aktiviti dipecahkan mengikut peringkat umur dan tahap perkembangan kanak-kanak.

“Pada awal Ramadan, kami beri pendekatan asas tentang apa itu bulan Ramadan. Selepas itu aktiviti akan dipecahkan mengikut umur dan latihan yang bersesuaian.

“Bagi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun, mereka akan mewarna gambar berkaitan Ramadan,” katanya.

Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor Mahanom Basri beramah mesra dengan kanak-kanak di Taska Bangunan Darul Ehsan Shah Alam pada 23 Februari 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Tambah beliau, komunikasi berterusan dengan ibu bapa penting bagi memastikan pendekatan di taska dan di rumah selari, sekali gus membantu kanak-kanak membina keyakinan untuk berpuasa secara berperingkat.

Cabaran urus emosi kanak-kanak

Mengulas cabaran sepanjang Ramadan, Nurmazwani berkata emosi kanak-kanak yang baharu belajar berpuasa memerlukan perhatian lebih daripada tenaga pengajar.

Menurutnya, ada dalam kalangan kanak-kanak menjadi kurang aktif dan lebih sensitif berbanding hari biasa.

“Jadi ada emosi mereka yang memerlukan perhatian lebih daripada guru. Namun, kami tetap cuba memberi semangat supaya mereka dapat meneruskan puasa," katanya.

Sementara itu, Mahanom berkata guru juga perlu lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti yang melibatkan makanan, seperti sesi memasak.

“Semasa aktiviti memasak, ada kanak-kanak melihat rakan yang tidak berpuasa. Di situ cabaran emosi berlaku dan guru perlu mengawal keadaan dengan baik,” katanya.

Beliau menambah situasi tersebut menuntut kesabaran serta pendekatan yang lebih berhemah agar suasana pembelajaran kekal positif dan kondusif sepanjang Ramadan.

Apa reaksi anda?