Penurunan dividen KWSP dipengaruhi pelaburan global, bukan ekonomi domestik

2 Mac 2026, 6:00 AM
Penurunan dividen KWSP dipengaruhi pelaburan global, bukan ekonomi domestik

SHAH ALAM, 2 MAC: Penurunan kecil kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 6.15 peratus bagi tahun kewangan 2025 dipengaruhi ketidaktentuan pelaburan antarabangsa, bukannya kelemahan ekonomi domestik.

Penganalisis Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata ekonomi negara masih berada pada tahap memberangsangkan, namun lebih 45 peratus pelaburan KWSP tertumpu di peringkat global.

“Alasan yang dikemukakan KWSP boleh diterima. Pertama adalah kadar tukaran asing yang menurun, sedangkan lebih 45 peratus pelaburan KWSP adalah berasaskan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

“Yang kedua, Bursa Saham Malaysia meningkat, kita mengharapkan sepatutnya apabila nilai saham meningkat, keuntuntungan juga meningkat. Tetapi keuntungan saham adalah 2.3 peratus,” katanya kepada Media Selangor.

Penganalisis Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sabtu lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi 2025 berbanding 6.30 peratus pada tahun sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 0.15 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn dilaporkan berkata pengukuhan ringgit berbanding dolar AS memberi kesan kepada pulangan pelaburan luar negara yang dinilai dalam mata wang tersebut.

Selain itu, katanya, persekitaran pelaburan global yang tidak menentu susulan dasar perdagangan sukar diramal, termasuk ketegangan tarif dan perkembangan geopolitik semasa, turut mempengaruhi prestasi.

Dalam pada itu, Dr Barjoyai berpandangan KWSP tidak akan berdepan tekanan besar walaupun krisis di Asia Barat berlarutan sehingga mencetuskan konflik lebih besar.

Pensyarah kanan di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) itu menjelaskan KWSP banyak melabur dalam instrumen berpendapatan tetap seperti bon dan sukuk, yang nilai asasnya lebih stabil.

“Jika perang dunia ketiga berlaku, mungkin ada kesan. Tapi KWSP banyak melabur dalam instrumen berpendapatan tetap, mungkin akan terjejas sedikit adalah pulangannya,” katanya.

Apa reaksi anda?