Insiden Depoh Subang: Rapid Rail dikompaun RM100,000

27 Feb 2026, 9:35 AM
Insiden Depoh Subang: Rapid Rail dikompaun RM100,000

SHAH ALAM, 27 FEB: Rapid Rail Sdn Bhd (RRSB) dikompaun RM100,000 susulan pelanggaran Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) berkaitan insiden di Depoh Subang yang mengorbankan seorang kakitangannya pada 12 Disember 2024.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan tindakan itu diambil di bawah Seksyen 101(7)(e) Akta 715 selepas siasatan mendapati pengendali berlesen gagal memastikan jajaran dan jentera kereta api berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi.

Menurut APAD, kejadian pada jam 3.36 pagi itu melibatkan kegagalan sistem brek jentera berkenaan menyebabkan pelanggaran dengan Jentera Speeder 3.

“Kemalangan itu mengakibatkan satu kematian dan tiga kecederaan kepada kakitangan RRSB selain kerosakan serius terhadap Jentera Grinder, Speeder 3 dan Shunting dengan anggaran kerugian berjumlah RM574,550.00.

“Siasatan mendapati Rapid Rail selaku pengendali berlesen telah gagal memastikan jajaran dan jentera kereta api berada dalam keadaan selamat untuk pengoperasian, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 101(7)(e) Akta 715,” menurut kenyataan itu.

APAD memaklumkan di bawah Seksyen 101(10) Akta 715, pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tegasnya, keputusan mengekalkan kompaun mengambil kira kepentingan awam serta prinsip akauntabiliti dalam memastikan integriti sistem pengangkutan rel negara terus terpelihara.

“Keselamatan operasi pengangkutan awam darat merupakan keutamaan tertinggi dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” tegas agensi itu.

Tambah APAD, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja bertujuan memastikan pematuhan undang-undang, malah sebagai peringatan kepada semua pengendali perkhidmatan rel supaya mematuhi piawaian teknikal dan memastikan latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan terlibat.

“Kami akan terus memperkukuh aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan setiap pengendali mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan, operasi dan standard keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

Apa reaksi anda?