SHAH ALAM, 26 FEB: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melaksanakan operasi merobohkan struktur menara telekomunikasi yang dibina tanpa kebenaran di kawasan lapang Jalan Teluki, Bukit Sentosa, semalam.
Operasi tersebut diketuai Jabatan Bangunan MPHS dengan bantuan Jabatan Penguatkuasaan MPHS serta kerjasama beberapa agensi luar termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Bantuan TNB, wakil Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor serta kontraktor yang dilantik.
MPHS memaklumkan operasi itu dilaksanakan bagi memastikan setiap struktur menara telekomunikasi dibina mematuhi peraturan serta mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan.

“Tujuan operasi ini juga bagi menjaga keselamatan awam dan mengawal pembangunan yang telah dirancang di dalam kawasan pentadbiran Daerah Hulu Selangor,” menurut kenyataan itu.
Menurut MPHS, operasi tersebut berjalan lancar dan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang membina struktur menara telekomunikasi tanpa kebenaran bagi memastikan pematuhan undang-undang.
"Diharapkan usaha berterusan ini dapat meningkatkan kesedaran kepada semua pihak syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan kelulusan sebelum membina atau memasang sebarang struktur menara telekomunikasi," katanya.








