GAZA CITY/ ISTANBUL, 25 FEB: Hujan lebat membanjiri khemah rakyat Palestin di seluruh Semenanjung Gaza awal Selasa dalam ribut musim sejuk pertama yang melanda wilayah itu sejak bermulanya bulan suci Muslim Ramadan, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah pun parah, di tengah-tengah sekatan Israel terhadap bekalan perlindungan, Anadolu Ajansi (AA) melaporkan, memetik pegawai dan saksi.
Sistem cuaca membawa hujan dan penurunan suhu ke Gaza lewat Isnin dan dijangka reda menjelang petang Selasa, kata pakar meteorologi Laith Al-Alami dalam catatan pada Facebook syarikat media sosial Amerika Syarikat (AS) itu.
Menurut Pertahanan Awam Gaza krunya menerima beberapa panggilan kecemasan semalaman melaporkan kem pelarian banjir disebabkan oleh hujan lebat.
Pasukan penyelamat menyelamatkan beberapa keluarga selepas banjir menenggelamkan khemah mereka di kawasan al-Mawasi di barat Khan Younis di selatan Gaza, menurut agensi itu.
Saksi memberitahu Anadolu air hujan turut membanjiri khemah di barat Bandar Gaza, khususnya di kawasan kejiranan al-Rimal dan berhampiran kawasan pelabuhan.
Video yang tular di media sosial menunjukkan khemah banjir di al-Rimal ketika penduduk bergelut mencari penyelesaian untuk mengelakkan kerosakan lebih teruk.
Sejak Disember, beberapa siri ribut musim sejuk telah membanjiri atau menerbangkan puluhan ribu khemah dan menyebabkan bangunan yang sudah rosak, yang sebelum ini diserang Israel, runtuh, membunuh dan mencederakan berpuluh-puluh rakyat Palestin. Ada yang mati akibat kesejukan melampau.
Kira-kira 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan tinggal di dalam khemah usang yang tidak mempunyai keperluan asas selepas Israel memusnahkan rumah mereka semasa perang.
Walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, keadaan kehidupan tidak bertambah baik dengan ketara, dengan Israel terus menyekat kemasukan penghantaran bantuan dan bahan perlindungan, termasuk khemah dan rumah mudah alih.
Israel melancarkan kempen ketenteraannya pada 8 Okt 2023, membunuh lebih 72,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 171,000 yang lain dan memusnahkan infrastruktur awam.








