Suspek tembak kenderaan komander AKPS mungkin diupah sindiket

25 Feb 2026, 4:48 AM
Suspek tembak kenderaan komander AKPS mungkin diupah sindiket

SHAH ALAM, 25 FEB: Polis tidak menolak kemungkinan dua suspek yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam awal pagi tadi, diupah sindiket.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata pihaknya tidak boleh menolak kemungkinan suspek diupah sindiket untuk melakukan perbuatan itu, lapor Berita Harian.

"Bagaimanapun siasatan masih berjalan dan kita menyiasat dari semua aspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, media melaporkan motif awal kejadian Komander AKPS Bukit Kayu Hitam ditembak dua lelaki ketika ingin ke masjid dipercayai untuk menakut-menakutkan pegawai penguat kuasa.

Ia susulan ada individu yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa sama ada AKPS atau polis yang banyak melakar kejayaan rampasan.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi tadi, kenderaan jenis Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak dengan dua das tembakan.

Adzli berkata bagaimanapaun, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat daripada terkena peluru selepas tembakan dilepaskan suspek tidak dikenali.

Apa reaksi anda?