Polis tahan penuntut UMPSA hina Islam, pijak al-Quran

25 Feb 2026, 2:56 AM
Polis tahan penuntut UMPSA hina Islam, pijak al-Quran

SHAH ALAM, 25 FEB: Polis menahan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kerana disyaki menghina Islam di media sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata penuntut terbabit ditahan awal pagi hari ini di Kuantan, lapor Berita Haran.

"Polis sudah menahan penuntut disyaki menghina Islam dan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Sejak semalam tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA di media sosial.

Turut tular gambar lelaki terbabit dan tangkap layar komen menghina Nabi Muhammad SAW.

Menurut Yahaya, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap penuntut terbabit hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut, atau mengganggu orang lain termasuk kandungan jelik.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Apa reaksi anda?