13 PATI ditahan dalam serbuan bazar Ramadan di Bangi

24 Feb 2026, 10:21 AM
13 PATI ditahan dalam serbuan bazar Ramadan di Bangi

PUTRAJAYA, 24 FEB: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 13 warga Indonesia yang disyaki melakukan kesalahan imigresen dalam operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di tapak bazar Ramadan di Bandar Baru Bangi, Selangor semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli berkata menerusi operasi yang bermula 3.55 petang itu, JIM memeriksa 720 individu melibatkan 693 warga tempatan, 12 lelaki dan 13 wanita warga Indonesia serta dua lelaki warga Bangladesh di 143 tapak bazar ramadan itu.

“Hasil pemeriksaan, JIM menahan enam lelaki dan tujuh wanita warganegara Indonesia kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua warganegara asing yang berusia antara 18 dan 40 tahun berkenaan telah dibawa dan ditahan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang Ramadan ini, beliau berkata tindakan pemeriksaan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa di mana-mana Bazar Ramadan seluruh negara.

“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warganegara asing yang menjalankan perniagaan secara haram, sekali gus gagal mematuhi undang-undang imigresen.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji pendatang tanpa izin,” katanya.