Lima lelaki ditahan bantu siasatan serang guna pisau, kayu besbol

24 Feb 2026, 6:30 AM
Lima lelaki ditahan bantu siasatan serang guna pisau, kayu besbol

SHAH ALAM, 24 FEB: Polis menahan lima lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kejadian menyerang seorang lelaki menggunakan pisau dan kayu besbol di kawasan rumah pangsa di Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas salah seorang suspek mengeluarkan kata-kata kesat terhadap isteri mangsa.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 18 hingga lingkungan 40-an ditahan di sekitar kawasan perumahan sama bermula Sabtu hingga semalam, susulan laporan dibuat mangsa pada hari kejadian.

“Semakan rekod lampau mendapati tiga daripada lima suspek mempunyai beberapa rekod jenayah terdahulu, manakala ujian saringan air kencing terhadap kesemua mereka adalah negatif.

“Mangsa mengalami luka pada tangan kanan dan kini masih menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, semua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Apa reaksi anda?