PHNOM PENH, 24 FEB: Meskipun bilangan umat Islam di Kemboja hanya dua hingga tiga peratus daripada keseluruhan populasi penduduk, namun Ramadan tetap disambut meriah.
Sokongan terhadap komuniti minoriti itu dizahirkan melalui Majlis Iftar Perdana tahunan anjuran kerajaan, yang dihadiri perdana menteri serta barisan kepimpinan negara.
Menurut Timbalan Menteri Kultus dan Agama Kemboja, H.E. Yob Asykary, majlis berkenaan menjadi simbol pengiktirafan kerajaan terhadap komuniti Islam di sini.
"Masyarakat Islam di Kemboja walaupun minoriti tetapi tetap mendapat sokongan dan diraikan.
“Antaranya ialah majlis iftar perdana yang dianjurkan setiap tahun dan dihadiri perdana menteri sebagai tanda sokongan kepada masyarakat Islam,” katanya ketika kunjungan Media Selangor di sini pada 3 hingga 6 Februari.
Kunjungan Media Selangor bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertujuan mengumpulkan maklumat berkenaan sistem pendidikan Islam Kemboja yang menggunakan sukatan pelajaran pihak berkuasa agama itu.

Beliau menegaskan walaupun agama Buddha merupakan agama rasmi negara, kerajaan tetap memberi hak dan kebebasan kepada masyarakat Islam mengamalkan ajaran mereka.
"Langkah itu sekali gus memastikan keharmonian antara agama terus terpelihara di negara ini," tambahnya.
Yob Asykary menambah, kerajaan Kemboja juga mengambil keputusan memberi gaji kepada guru sekolah agama yang pada asalnya mereka tidak menerima inisiatif tersebut.
"Begitu juga dengan keputusan kerajaan mengeluarkan waran (gaji) berjumlah USD300 kepada 1,500 guru-guru sekolah agama," katanya.
Islam merupakan agama masyarakat minoriti di Kemboja yang kebanyakannya merupakan etnik Cham yang menetap di sana sejak abad ke-15.
Lebih 90 peratus daripada 17.97 juta penduduk Kemboja adalah beragama Buddha.
Walaupun jumlah mereka kecil, komuniti Islam khususnya komuniti Cham hidup dalam suasana saling menghormati bersama penganut agama lain.

Seri muka juadah tradisi Ramadan
Suasana bulan puasa di Kemboja tidak semeriah negara majoriti Islam seperti Malaysia, yang dimeriahkan dengan deretan panjang bazar Ramadan.
Namun di sini, terdapat juga bazar jualan yang menyajikan hidangan berbuka puasa setiap tahun di sekitar kawasan Chroy Changvar berhampiran kompleks yang dikenali Food Palace atau Food Court.
Menurut warga tempatan, Nur Aleena Suhaimi, 30, bazar Ramadan itu diadakan seperti di Malaysia tetapi dalam skala lebih kecil.
"Kita ada bazar dekat seberang sungai. Sama macam Malaysia juga, cuma pilihan makanannya tidak sebanyak di Malaysia tetapi tetap ada,” katanya.
Menurut wanita yang bapanya rakyat Malaysia dan ibunya berbangsa Khmer, peniaga di sini terdiri daripada pelbagai komuniti termasuk warga Turki, Bangladesh dan Pakistan.
"Antara juadah yang dijual termasuk yang sering ditemui di Malaysia seperti kuih seri muka dan kuih lapis.
"Manakala hidangan tempatan lain seperti pulut tradisional yang berinti pisang dan dibungkus daun pisang dikenali sebagai num ansom," katanya.
Tambahnya, bagi komuniti Cham yang tinggal di kawasan majoriti Islam Crang Camreh, Rusey Keo yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sini pula, juadah berbuka lazimnya dimasak sendiri di rumah.
Selain itu, katanya, masyarakat Cham turut menyediakan hidangan tradisi seperti pay-krah, ha-nam-can dan sai-kya ketika berbuka bersama keluarga.
"Kari yang dihidangkan berbeza sedikit daripada citarasa Melayu kerana menggunakan santan atau susu dan rasanya lebih manis.
"Manakala di Kampung Chhnang, satu lagi kawasan majoriti masyarakat Cham yang terletak lebih jauh dari Kota Phnom Penh, suasana Ramadan lebih dirasai," katanya.
Nur Aleena yang juga Pemilik Cafe Malaya menambah dia dan keluarga pernah tinggal di Kajang, Selangor selama tiga tahun sebelum kembali menetap di negara ini.
Katanya, kedainya tetap beroperasi sepanjang Ramadan tetapi hanya pada waktu tengah hari.
“Di sini Islam minoriti, jadi suasana bulan Ramadan biasa sahaja. Tidak seperti di Malaysia.
“Kedai kami bila bulan Ramadan, kami buka. Tapi kami tidak buka pada waktu berbuka. Kami buka hanya dibuka waktu makan tengah hari sahaja.
“Kebanyakan pelanggan saya ada yang bukan Islam juga, jadi mereka perlu makan tengah hari, sebab itu kami buka untuk mereka,” katanya.

Tadarus, qiamullail setiap malam
Bagi pelajar, Mahadi Muhamad, 21, yang tinggal di asrama, peluang balik kampung pada bulan Ramadan sangat dinantikan.
Menurutnya, sepanjang bulan puasa di asrama, aktiviti seperti tadarus al-Quran dan qiamullail dipertingkatkan hampir setiap malam.
"Jika pulang ke kampung (Chhnang), saya lebih gemar berbuka di surau kerana suasananya lebih meriah dan makanan istimewa.
“Kalau berbuka di surau, makanan lebih istimewa sebab ramai orang luar datang bersedekah,” katanya.









