38,400 baucar Jom Shopping Aidilfitri diagih, boleh diguna hingga 20 Mac

23 Feb 2026, 10:15 AM
38,400 baucar Jom Shopping Aidilfitri diagih, boleh diguna hingga 20 Mac

SHAH ALAM, 23 FEB: Sebanyak 38,400 baucar Program Jom Shopping Perayaan Hari Raya Aidilfitri akan diagihkan kepada penerima layak tahun ini, membabitkan peruntukan RM7.68 juta.

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, pengagihan baucar itu melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor bagi membantu golongan sasar membuat persiapan menjelang perayaan tersebut.

Menurut beliau, tempoh penggunaan baucar dilanjutkan sehingga 20 Mac berbanding tarikh asal 18 Mac bagi memberi ruang kepada masyarakat Islam membuat persiapan dan berbelanja sehingga sebelum Hari Raya.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau dan memastikan pelaksanaan Program Jom Shopping Perayaan ini dilaksanakan dengan rapi demi kelancaran program serta kebajikan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama pasar raya bagi pelaksanaan program tersebut.

Mesyuarat itu melibatkan kerjasama strategik bersama NSK Grocer, Lotus’s Malaysia, MYDIN, Giant Malaysia, Best Fresh Mart, Econsave, TF Value-Mart, Grand Union Supermarket, NSK Trading serta Sri Ternak Food Mart.

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Pasar Raya bagi pelaksanaan Program Pemberian Bantuan Secara Baucar bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Foto Facebook V Papparaidu

Jelas beliau, penyelarasan itu penting bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar, telus dan memberi manfaat kepada golongan sasar, khususnya dalam membantu meringankan beban rakyat menjelang Aidilfitri.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan agar isu kekurangan bekalan tidak berlaku sepanjang tempoh pelaksanaan program itu.

“Semua pihak pasar raya yang terlibat perlu memastikan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, ayam serta barangan makanan utama lain disediakan dalam kuantiti yang mencukupi,” katanya.

Baucar Jom Shopping Perayaan berjumlah RM200 seorang diperkenalkan bagi membantu keluarga berpendapatan bawah RM3,000 membeli barangan keperluan asas di pasar raya terpilih.

Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM18.48 juta bagi pelaksanaan program berkenaan, termasuk tambahan RM2 juta berbanding tahun lalu, yang bakal memberi manfaat kepada 92,400 penerima untuk membuat persiapan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkenal baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negara berjumlah RM200 seorang kepada 8,317 veteran dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta.

Apa reaksi anda?