Ihya' Ramadan: Yayasan MBI agih 600 juadah berbuka setiap Isnin hingga Jumaat di Bangunan Darul Ehsan

23 Feb 2026, 3:05 PM
Ihya' Ramadan: Yayasan MBI agih 600 juadah berbuka setiap Isnin hingga Jumaat di Bangunan Darul Ehsan
Ihya' Ramadan: Yayasan MBI agih 600 juadah berbuka setiap Isnin hingga Jumaat di Bangunan Darul Ehsan

SHAH ALAM, 23 FEB: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meneruskan tradisi edaran juadah berbuka puasa dengan 600 pek makanan diagihkan setiap Isnin hingga Jumaat di Bangunan Darul Ehsan di sini.

“Selain itu, kita turut menyediakan tambahan 400 pek juadah setiap Rabu di Bangunan SUK bagi memenuhi keperluan penerima di lokasi berkenaan,” kata Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.

Jelasnya, program itu adalah sebahagian daripada aktiviti bagi memeriahkan Ihya' Ramadan Yayasan MBI yang menerima peruntukan RM4 juta pada tahun ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas program Edaran Juadah Berbuka di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Program edaran juadah berbuka puasa ini merupakan tradisi tahunan yang sentiasa dilaksanakan oleh Yayasan MBI setiap kali Ramadan dan ia adalah sebahagian daripada program Ihya' Ramadan tahun ini,” katanya kepada Media Selangor.

Tambah Azri lagi, program berkenaan sebelum ini turut dilaksanakan di beberapa bangunan kerajaan lain serta institusi pendidikan bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai penerima.

Bagaimanapun jelasnya, faktor kekangan masa dan kekurangan petugas menyebabkan pelaksanaannya kini difokuskan kepada dua lokasi sahaja.

Kakitangan menerima makanan ketika program Edaran Juadah Berbuka di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Sebelum ini kita pernah laksanakan di bangunan kerajaan lain dan institusi pendidikan, namun kekangan masa serta petugas menyebabkan kita fokus kepada dua lokasi sahaja iaitu Bangunan Darul Ehsan dan Bangunan SUK,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut terlibat dalam penganjuran program di bazar Ramadan termasuk agihan kupon digital bersama platform PLATS, sekali gus menambah komitmen harian sepanjang bulan tersebut.

Apa reaksi anda?