SHAH ALAM, 23 FEB: Pusat Kajian Bencana (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjangkakan gempa susulan berkemungkinan berlaku selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 yang melanda perairan berhampiran Kota Kinabalu awal pagi Isnin.
Dalam kenyataan bersama, NDRC menegaskan pemantauan rapi perlu diteruskan sehingga analisis penuh disahkan pihak berkaitan bagi menjamin keselamatan komuniti, khususnya di kawasan bandar pesisir pantai, lapor Sinar Harian.
“Situasi ini amat membimbangkan kerana pembangunan pesat sedang berlaku di kawasan pusat bandar Kota Kinabalu yang terletak kira-kira 100 kilometer dari pusat gempa.
“Adalah amat penting untuk memastikan semua pembangunan infrastruktur terutamanya bangunan-bangunan tinggi seperti kediaman kondominium, jambatan dan empangan direka bentuk dengan mengambil kira beban bahaya gempa,” menurut kenyataan itu.
NDRC turut menggesa pemaju dan jurutera menilai semula reka bentuk struktur sedia ada supaya mematuhi kod reka bentuk gempa serta merujuk National Annex Malaysia MS EN 1998-1:2015 (2017) bagi memastikan keselamatan struktur dan perlindungan nyawa.
Selain aspek teknikal, kesedaran awam mengenai risiko gempa bumi juga perlu dipertingkatkan agar masyarakat memahami langkah keselamatan sekiranya berlaku gegaran susulan.
“Gempa bumi tidak dapat dielakkan, tetapi risiko dan impaknya boleh dikurangkan melalui pematuhan kepada piawaian kejuruteraan dan kesedaran masyarakat di samping tindak balas menyelamatkan diri jika berlakunya gempa bumi,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts Dr Carolyn Melissa Payus dan Ketua Kluster Gempa Bumi dan Tsunami NDRC, Profesor Madya Ir Ts Dr Noor Sheena Herayani Harith.
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 dilaporkan berlaku pada jam 12.57 pagi dengan pusat gempa pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur pada kedalaman 678 kilometer, kira-kira 49 kilometer barat Kudat. Gegaran dirasai di beberapa daerah sekitar Sabah, namun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan tiada ancaman tsunami.







