Mangsa kebakaran Sungai Buloh dipindahkan, bantuan disalur segera

23 Feb 2026, 3:21 AM
Mangsa kebakaran Sungai Buloh dipindahkan, bantuan disalur segera

SHAH ALAM, 23 FEB: Enam keluarga yang terjejas akibat kebakaran lima rumah di Jalan 2/2, Bandar Baru Sungai Buloh petang semalam kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Meranti.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Dato’ Sri Ramanan berkata wakil Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh turun ke lokasi kira-kira jam 12 tengah malam bagi meninjau keadaan mangsa dan menyelaras bantuan segera.

Wakil Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, Saudara Selvan dan Saudara Najmi telah turun ke lokasi meninjau keadaan mangsa. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat YB Dato' Sri Ramanan Ahli Parlimen Sungai Buloh

“Kesemua keluarga yang terjejas telah ditempatkan di PPS Dewan Meranti bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Shah Alam serta pihak penghulu supaya bantuan keperluan asas dapat disalurkan segera,” katanya menerusi Facebook.

Kebakaran membabitkan rumah Lot 1681 hingga Lot 1685 itu menyebabkan mangsa kehilangan tempat tinggal, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Ramanan berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan segala bentuk bantuan susulan diberikan kepada keluarga terlibat.

Kebakaran rumah di Jalan 2/2, Bandar Baru Sungai Buloh pada 22 Februari 2026. Foto Facebook Balai Bomba Dan Penyelamat Sungai Buloh

Media Selangor melaporkan, tiga rumah musnah hampir sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan 2/2, Bandar Baru Sungai Buloh, petang semalam.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.47 petang sebelum tiba di lokasi 10 minit kemudian.