SABAK BERNAM, 23 FEB: Mahasiswa politeknik tidak wajar melihat institusi itu sebagai pilihan kelas kedua, sebaliknya perlu yakin dengan peranan besarnya dalam memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan kekuatan Selangor terletak pada sumber daya manusia, justeru Kerajaan Negeri giat menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi dan industri bagi memastikan graduan memperoleh pekerjaan.

“Kekuatan Selangor adalah daripada sumber daya manusia atau sektor pendidikan. Antara langkah diambil adalah bekerjasama dengan pelbagai institusi supaya semua graduan mendapat pekerjaan.
“Kerjasama dijalinkan bersama Siemens, Dassault Systems, BMW, Proton dan Perodua dengan menyediakan latihan bagi menambah baik kemahiran sekali gus membolehkan mereka memperoleh pendapatan tinggi.
“Tidak sepatutnya mahasiswa berasa politeknik institusi kelas kedua. Bidang TVET mempunyai potensi besar dan wajar diberi perhatian serius,” katanya pada program Yok Moreh bersama 2,400 mahasiswa Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) di sini.
Turut hadir EXCO Perpaduan yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail.

Sementara itu, Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid berkata institusi berkenaan komited melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Beliau berkata PSIS kini mempunyai 3,163 pelajar diploma dan 79 pelajar asasi, dengan 65 peratus atau 2,110 daripadanya merupakan anak jati Selangor.
“Kita mahu melahirkan graduan berkemahiran tinggi. Sokongan kerajaan negeri dalam memperkasa agenda pendidikan, kebajikan pelajar dan pembangunan modal insan amat dihargai,” katanya.








