SHAH ALAM, 20 FEB: Keadaan akar pokok yang telah reput dan tanah tepu air dipercayai antara punca insiden pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, pada Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majidah Md Ali, berkata dakwaan bahawa punca kejadian berpunca daripada struktur tanah yang lemah disifatkan sebagai andaian awal.

“Itu andaian awal. Kita perlu semak dengan jabatan geosains. Cuma, bila berlaku kita lihat akar telah reput, dan ia bermakna ada tepu air yang tinggi di situ.
“Saya rasa terlalu awal untuk kita katakan ada masalah air di tanah di situ,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar Shah Alam di Wisma MBSA hari ini.
Majidah menambah, pihaknya telah mengambil tindakan terhadap 15 pokok berisiko yang berumur kira-kira 30 tahun, sejurus MBSA mengaktifkan Audit Kecemasan pada Selasa lalu. MBSA kini sedang melakukan penilaian terhadap 264 lagi pokok di kawasan sekitar untuk menentukan sama ada ia perlu diselenggara atau ditebang.
“Kita sudah siasat 15 pokok berisiko di situ, di mana tindakan pemangkasan pun sudah dibuat untuk mengurangkan risiko. Ada baki 264 pokok lagi, kita akan buat penilaian awal.
“Sama ada perlu dipangkas sahaja atau pun ditebang. Laporan itu baharu siap hari ini untuk keseluruhan kawasan itu,” katanya.
Audit Kecemasan diaktifkan selepas insiden pokok tumbang menimpa sebuah kenderaan di Persiaran Tun Arshad Ayub.
Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA memaklumkan pihaknya telah melantik arborist bertauliah untuk menjalankan pemeriksaan teknikal terperinci dan mengambil tindakan segera terhadap pokok berisiko.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.11 tengahari itu, dua pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang berhampiran sebuah pangsapuri.
Mangsa dikenal pasti sebagai Dr Nur Shahidah Ab Aziz, 39, dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, kedua-duanya pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia di UiTM Shah Alam, kini sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam.







