Awalnya sekadar berbual santai, mendengar luahan hati jemaah perihal kehidupan harian usai beribadah. Bertitik-tolak dari rasa enggan memandang remeh keluhan mereka, tercetus idea untuk menangani masalah mereka secara tuntas.
Ini mendorong pengurusan Masjid Puncak Alam di Kuala Selangor menyediakan perkhidmatan kaunseling secara serius. Bukan untuk pengunjung sahaja sebaliknya terbuka kepada sesiapa jua.
Mereka mahu masjid menjadi ruang paling dipercayai, rumah ibadah masa depan yang berupaya berperanan sebagai pengantara bagi meringankan beban umat Islam dalam menempuh onak kehidupan. Bukan sekadar tunduk sujud atau berteleku menadah doa harapan.
Perkhidmatan itu disediakan percuma untuk semua pengunjung sejak tahun 2018. Dikendali oleh kaunselor berdaftar, orang ramai boleh terus ke pejabat pentadbiran masjid untuk mendapatkan janji temu.

Roslan Muhammad Hamidi percaya suasana masjid yang tenang lagi santai, dekat di hati masyarakat membantu jemaah untuk terbuka berkongsi masalah.
“Masjid tempat kita membersihkan diri, zahir dan batin. Kaunseling di masjid melengkapkan peranan itu,” katanya yang diiktiraf sebagai kaunselor syarie Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Justeru, tidak hairanlah masjid itu acap kali menjadi tempat masyarakat mencari perlindungan apabila hidup terasa terlalu berat untuk dipikul di bahu berseorangan.
“Orang yang dipukul pasangan, tiada duit, atau hilang arah, mereka akan datang ke masjid. Mereka rasa Allah SWT lebih dekat di sini,” ceritanya lagi.
Seperti kebanyakan pusat kaunseling lain, masalah rumah tangga antara kes paling banyak. Namun, Roslan mengakui kebanyakan pasangan datang ketika situasi ibarat telur di hujung tanduk.
“Bila sudah sebut hendak cerai, biasanya emosi sudah terlalu tinggi. Sebab itu, saya selalu menggalakkan pasangan datang lebih awal, sebelum perkataan cerai menjadi pilihan,” katanya yang berkhidmat lebih 10 tahun sebagai kaunselor.
Terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Shah Alam, jemaah yang hadir bukan sahaja dari kalangan pasangan suami isteri.

Skop kaunseling yang ditawarkan sangat luas, meliputi isu pendidikan, kerjaya, kesihatan mental dan masalah keluarga.
Roslan yang juga ketua biro kebajikan sosial masjid itu juga mendapati ramai ibu bapa membawa anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk berbincang hala tuju kerjaya. Rata-ratanya keliru sama ada mahu menyambung pelajaran atau terus bekerja.
Perkara paling mengejutkan kes melibatkan warga emas berusia 60 hingga 70 tahun. Rata-rata mereka berdepan isu ketagihan pornografi yang memberi kesan besar terhadap keharmonian rumah tangga.
“Kadang-kadang isteri yang minta suami datang. Ini perkara yang orang tak sangka, tapi inilah realiti,” katanya.
Roslan yang menetap di Puncak Alam sejak 2004 percaya kaunseling bukan sekadar menghulur bantuan kepada orang lain tetapi proses mendidik diri sendiri.
“Bila kita belajar memahami manusia, kita juga belajar tentang kelemahan diri,” ungkap beliau.
Berkat usaha dan kesungguhan, pengurusan masjid itu memasuki fasa baharu apabila turut menubuhkan KSK Care Centre. Dibina dengan kerjasama JAIS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ia menggabungkan perkhidmatan kaunseling dan rawatan Islam.
“KSK Care Centre ialah pusat khidmat masyarakat dan sosial. Masjid Puncak Alam dipilih sebagai projek perintis untuk Selangor,” kata pengurus masjid, Aimanuddin Wafiy Roslan.
Perkhidmatan psikospiritual Islam, khusus bagi menangani isu kesihatan mental termasuk keresahan melampau, tekanan emosi dan gangguan dalaman yang tidak dapat ditangani sepenuhnya melalui rawatan klinikal.
“Semua perkhidmatan ini saling melengkapi. Selain rawatan di klinik atau hospital, masyarakat juga memerlukan sokongan rohani dan spiritual yang tidak dapat disediakan melalui kemudahan perubatan biasa,” kata Aimanuddin, juga iman masjid berkenaan.
Beliau beranggapan pengurusan masjid memikul tanggungjawab besar terhadap masyarakat yang kian berkembang. Justeru perkhidmatan KSK Care Centre dibuka luas kepada seluruh masyarakat.
“Masjid ini untuk semua. KSK Care Centre adalah usaha kami untuk memastikan masjid terus relevan, berfungsi dan benar-benar dekat dengan denyut nadi masyarakat,” katanya lagi.









