Perkhidmatan tren laluan Kelana Jaya pulih sepenuhnya

19 Feb 2026, 2:17 AM
Perkhidmatan tren laluan Kelana Jaya pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 19 Februari 2026: Perkhidmatan tren Rapid KL laluan Kelana Jaya kembali beroperasi seperti biasa selepas gangguan awal pagi tadi pulih sepenuhnya pada 8.52 pagi.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan gangguan sistem semboyan itu disyaki berpunca bekalan kuasa tidak stabil pada komponen elektronik yang mengawal pergerakan tren antara Stesen Gombak dan Stesen Ampang Park.

Menurutnya, pihak operasi segera mengaktifkan laluan tren alternatif selain menyediakan perkhidmatan bas perantara ulang-alik secara percuma bagi memastikan penumpang dapat meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

“Kerja-kerja baik pulih telah diselesaikan dan operasi tren diselaraskan secara berperingkat sebelum kembali normal sepenuhnya. Sebagai langkah keselamatan tambahan, pasukan teknikal ditempatkan di bilik komponen elektronik untuk memantau perkembangan sistem semboyan.

“Bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan serta petugas stesen turut ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu orang ramai,” maklumnya.

Rapid Rail turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan menghargai kesabaran serta kerjasama penumpang sepanjang tempoh gangguan berkenaan.

Apa reaksi anda?