SHAH ALAM, 19 FEB: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan Dataran Merdeka adalah kawasan larangan menjaja bagi menjaga imej, kebersihan serta nilai warisan kawasan tersebut yang menjadi kebanggaan warga kota dan pelancong.
DBKL turut mengingatkan para pengunjung supaya tidak membeli daripada penjaja haram serta bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan dan menghargai keindahan persekitaran.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai demi memastikan Dataran Merdeka dan kawasan sekitar berada dalam keadaan bersih , selamat dan sejahtera untuk dikunjungi,” maklumnya menerusi kenyataan.
Tambahnya, DBKL telah menyita air balang yang dijaja di sekitar Dataran Merdeka pada 14 Februari lalu selaras dengan peruntukan undang-undang.
Terdahulu, pengguna media sosial memuat naik aktiviti penjaja seolah-olah membuka 'bazar' di kawasan berkenaan sekali gus mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.








