Cuaca tidak menentu: PBT diminta pangkas pokok matang elak risiko

17 Feb 2026, 2:35 PM
Cuaca tidak menentu: PBT diminta pangkas pokok matang elak risiko
Cuaca tidak menentu: PBT diminta pangkas pokok matang elak risiko
Cuaca tidak menentu: PBT diminta pangkas pokok matang elak risiko
Cuaca tidak menentu: PBT diminta pangkas pokok matang elak risiko

SHAH ALAM, 17 FEB: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diminta mengambil tindakan segera termasuk memangkas pokok matang susulan cuaca tidak menentu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata agensi berkaitan perlu menyiasat dan memantau keadaan pokok terutama di laluan utama termasuk mendapatkan khidmat pakar bagi memastikan tahap keselamatan berada dalam keadaan terkawal.

“Kalau pokok boleh diselamatkan, kita selamatkan. Kalau perlu tebang, terus sahaja tebang. Bagaimanapun kita akan pastikan pokok ini diganti dengan tanaman baharu kerana ia menjamin ekosistem alam sekitar.

“Dahan yang dilihat berisiko, lakukan pemangkasan segera supaya kejadian tidak diingini berulang. Kita tidak mahu sampai ada kes kehilangan nyawa,” katanya selepas Majlis Hi-Tea Perdana DUN Kota Anggerik 1447H/2026M bersama pengurusan masjid dan surau di sini hari ini.

Bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik itu berkata kerja menebang dan memangkas pokok matang di Persiaran Tun Arshad Ayub, dijalankan dua hari sehingga esok.

Katanya kebanyakan pokok dari jenis Kaya itu berusia lebih 30 tahun selain tua dan uzur, dipangkas bagi mengelakkan dahannya patah sekali gus berisiko kepada keselamatan pengguna jalan raya.

“Hari ini ada lagi pokok tumbang di kawasan berkenaan. MBSA tutup dua laluan di persiaran itu untuk kerja memangkas. Jadi kita harap pengguna jalan berkenaan bersabar,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.11 tengah hari semalam, dua pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cedera selepas kenderaan dinaiki dihempap pokok tumbang di sebuah pangsapuri di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, di sini.

Kedua-dua wanita itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut dan mangsa, Dr Nur Shahidah Ab Aziz, 39, dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, berkhidmat sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia di UiTM Shah Alam.

Sementara itu, Najwan berkata pihaknya bersiap siaga susulan hujan lebat yang kerap berlaku ketika ini termasuk meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bersedia.

“Semalam berlaku banjir kilat di beberapa kawasan. Apa yang merisaukan adalah banjir termenung kerana menjejaskan penduduk.

“Bagaimanapun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini,” katanya.