SHAH ALAM, 17 FEB: Agensi dan jabatan di Selangor diarah bersiap siaga susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku sehingga 20 Februari ini, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata peringatan telah dikeluarkan kepada semua pihak berkaitan supaya meneliti keadaan semasa dan membuat persediaan awal.
“Kerajaan Negeri juga telah menyiapkan inspeksi atau memeriksa ban supaya elak pecah, cuma ada beberapa kawasan yang belum siap sepenuhnya.
“Selain itu, langkah susulan dan peringatan akan dibuat. Namun kita berharap fenomena air pasang besar tidak beri dampak terhadap kadar hujan yang memungkinkan peristiwa banjir seperti sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkunjung ke kediaman rasmi EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Fenomena air pasang besar dijangka berlaku sehingga 20 Februari depan dan berpotensi menyebabkan limpahan air laut ke kawasan daratan serta meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.
Berikutan itu, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) menasihatkan penduduk yang tinggal di pesisir pantai supaya sentiasa berwaspada, memantau perubahan paras air laut serta mengikuti maklumat rasmi dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
Berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2026, paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang dijangka mencecah antara 4.8 hingga 5.23 meter sepanjang tempoh berkenaan, dengan bacaan tertinggi diramal pada 19 Februari.










