KPDN sahkan tiada jualan minyak masak bersubsidi kepada warga asing di Bangi

16 Feb 2026, 8:17 AM
KPDN sahkan tiada jualan minyak masak bersubsidi kepada warga asing di Bangi

SHAH ALAM, 16 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengesahkan tiada urusan jual beli minyak masak paket kepada warga asing seperti yang tular di media sosial.

Sebaliknya, wakil agensi memaklumkan video berdurasi hampir dua minit itu menunjukkan premis berkenaan menghalang sekumpulan warga asing daripada membeli minyak masak bersubsidi.

“KPDN Selangor menjalankan pemeriksaan semalam ke atas premis tersebut. Sebenarnya premis menghalang pembelian minyak paket itu dan tiada sebarang jualan berlaku,” katanya kepada Media Selangor.

Bagaimanapun, KPDN mengambil tindakan terhadap premis terbabit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 susulan kegagalan menyelenggara buku rekod barang kawalan berjadual.

Bulan lalu, Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan warga asing dilarang membeli minyak masak bersubsidi mulai 1 Mac ini mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut beliau, perbincangan sedang diadakan dengan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan pelaksanaan itu berjalan lancar dan subsidi dimanfaatkan oleh warganegara.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai warga asing mengambil minyak masak paket bersubsidi di sebuah premis di Bangi.

Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet, dengan sebahagian besar meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak premis yang didakwa tidak menghalang pembelian tersebut.

Apa reaksi anda?