MAIS peruntuk RM16.71 juta agihan fidyah, bantu 48,674 penerima

15 Feb 2026, 4:04 AM
MAIS peruntuk RM16.71 juta agihan fidyah,  bantu 48,674 penerima
MAIS peruntuk RM16.71 juta agihan fidyah,  bantu 48,674 penerima
MAIS peruntuk RM16.71 juta agihan fidyah,  bantu 48,674 penerima

PETALING JAYA, 15 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan RM16.71 juta agihan fidyah tahun ini bagi membantu 48,674 penerima layak di Selangor.

Majlis Pelancaran Agihan Fidyah MAIS 2026 disempurnakan Pengerusinya, Dato’ Salehuddin Saidin di Masjid Ara Damansara, hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan itu, RM7.57 juta diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), melibatkan RM5.39 juta untuk Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), manakala RM2.18 juta lagi disalurkan kepada masjid serta surau di negeri ini.

Selain itu, agihan turut membabitkan RM3 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan RM2.5 juta kepada institusi pengajian tinggi awam serta swasta bagi menyantuni golongan memerlukan.

Dalam majlis sama, sebanyak 756 penerima asnaf fakir miskin sekitar kawasan itu menerima kotak makanan asas bernilai RM227.85 setiap seorang.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato' Salehuddin Saidin menyampaikan kotak makanan kepada penerima bantuan ketika pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS di Masjid Ara Damansara, Petaling Jaya pada 15 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Salehuddin, peruntukan fidyah dirancang secara strategik dengan mengambil kira keperluan semasa, keupayaan rakan strategik serta keberkesanan kaedah agihan sebelum ini.

“Agihan fidyah ini akan terus dilaksanakan melalui kerjasama dengan pelbagai rakan strategik agihan fidyah MAIS termasuk masjid, surau, madrasah, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan Islam bukan kerajaan yang berdaftar dengan MAIS.

“Pendekatan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik ini membolehkan agihan dibuat secara lebih dekat dengan komuniti setempat, pantas dan bersasar, selari dengan keperluan sebenar penerima,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato' Salehuddin Saidin berucap sempena majlis pelancaran Program Agihan Fidyah MAIS di Masjid Ara Damansara, Petaling Jaya pada 15 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata MAIS turut memperluas manfaat kutipan fidyah melalui program agihan wang saku pelajar bagi membantu penerima yang layak merangkumi sekolah rendah kebangsaan, sekolah rendah agama, sekolah menengah kebangsaan, madrasah, kolej serta universiti awam dan swasta di Selangor.

“JAIS dan JPNS melalui pihak pengurusan sekolah juga memainkan peranan penting dengan memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kesinambungan legasi keilmuan Islam yang syumul dapat diwariskan kepada generasi pewaris bangsa Melayu Islam.

“Peranan ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan intelektual semata-mata, bahkan merangkumi aspek kebajikan dan pembangunan jasmani pelajar, termasuk keperluan asas seperti makan dan minum sepanjang proses pembelajaran,” katanya.

Selain itu, beliau menyeru individu yang layak tetapi belum berdaftar sebagai fakir atau asnaf, tampil membuat permohonan agar bantuan dapat disalurkan.

“Saya menyeru kepada mana-mana pihak memerlukan yang masih belum mendaftar sebagai fakir atau asnaf boleh terus mendaftar agar pihak MAIS, JAIS dan zakat dapat dibantu,” katanya.

Apa reaksi anda?