503 kes baharu tibi dikesan, Sabah dan Selangor tertinggi

15 Feb 2026, 3:17 AM
503 kes baharu tibi dikesan, Sabah dan Selangor tertinggi

SHAH ALAM, 15 FEB: Sebanyak 503 kes baharu tuberkulosis (tibi) dikesan setakat Minggu Epidemiologi ke-5 tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di seluruh negara meningkat kepada 2,571.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 614 kes (23.88 peratus), diikuti Selangor sebanyak 476 kes (18.51 peratus) dan Sarawak 257 kes (10 peratus).

Turut merekodkan kes ialah Johor sebanyak 233 kes (9.06 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 202 kes (7.86 peratus), Pulau Pinang 148 kes (5.76 peratus) serta Kedah 144 kes (5.60 peratus).

Negeri lain termasuk Perak (127 kes), Kelantan (96 kes), Pahang (81 kes), Terengganu (60 kes), Negeri Sembilan (58 kes), Melaka (42 kes), Perlis (17 kes) dan Wilayah Persekutuan Labuan (16 kes).

Menjelang musim perayaan dan cuti panjang, KKM menasihatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap langkah pencegahan penyakit Tibi bagi mengelakkan penularan jangkitan.

“Orang ramai dinasihatkan agar mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul serta memakai pelitup muka di kawasan yang sesak.

“Individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan, atau susut berat badan digesa untuk segera menjalani saringan di fasiliti kesihatan terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KKM menegaskan langkah tersebut berteraskan prinsip penilaian risiko kendiri serta tanggungjawab sosial bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan penyakit berjangkit.