SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan tidak berhasrat untuk memperkenalkan dasar mengawal jumlah kenderaan walaupun isu kesesakan lalu lintas semakin meruncing, terutamanya di Lembah Klang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata setakat ini, kerajaan lebih memberi tumpuan kepada langkah mitigasi, khususnya semasa musim perayaan, namun realitinya jumlah kenderaan di negara ini meningkat setiap tahun.
“Jadi, buat masa ini kita belum ada dasar untuk mengawal kenderaan. Sekiranya ada dasar berkaitan ‘end-of-life’ dan sebagainya, ia akan menimbulkan masalah dan aduan lain.
“Namun, bagi jangka masa panjang, kita perlu menilai perkara ini supaya jumlah kenderaan dapat dikawal,” katanya pada sidang media Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada Penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di KL Sentral, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, jumlah kenderaan yang berjaya dijual di negara ini pada tahun lalu ialah 820,000 buah, menjadikan Malaysia pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara, mengatasi Indonesia dan Thailand, walaupun jumlah penduduk hanya sekitar 30 juta orang.
Katanya, peningkatan mendadak kenderaan persendirian menjadi faktor utama kesesakan lalu lintas, sekali gus mengekalkan Malaysia sebagai negara yang masih ‘car-centric’.
“Saya faham kesusahan rakyat kerana saya sendiri turut terperangkap dalam kesesakan, malah mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke destinasi di Lembah Klang.
“Namun, realitinya jumlah kenderaan semakin meningkat dan ini perlu difahami semua pihak,” katanya.
Loke menambah, Kementerian Pengangkutan akan terus melaksanakan pelbagai langkah mitigasi melalui penambahbaikan pengangkutan awam termasuk penambahan perkhidmatan KTMB, ETS dan komuter, namun impaknya masih terhad.
“Walaupun kapasiti penumpang telah ditambah sehingga 50,000, ia masih kecil berbanding kira-kira dua juta kenderaan yang memasuki lebuh raya.
“Dalam beberapa bulan akan datang, kita akan mempercepatkan pembukaan laluan Projek LRT Laluan Shah Alam (LRT3) sebagai salah satu langkah mitigasi untuk memberi pilihan kepada penumpang. Bukan kita tidak mahu buka sekarang, tetapi terdapat ujian yang perlu dipatuhi sebelum ia dibuka kepada orang ramai,” jelasnya.
Sementara itu, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, dengan penambahan tiga set ETS baharu, KTMB kini menyediakan 16 trip perkhidmatan ETS tambahan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang beroperasi sepanjang tempoh Tahun Baharu Cina sebanyak 58 trip sehari.
“Ini termasuk dua trip tambahan ke Padang Besar dengan jumlah tempat duduk sebanyak 5,040. Penjualan tiket dibuka mulai jam 12.15 tengah malam tadi.
“Dua trip tambahan ini akan beroperasi dari 15 Februari hingga 22 Februari menggunakan set ETS ke-8,” katanya.








