Lebih 9,000 individu terpedaya pelaburan palsu babit kerugian RM1.37 bilion

4 Jan 2026, 9:15 AM
Lebih 9,000 individu terpedaya pelaburan palsu babit kerugian RM1.37 bilion

SHAH ALAM, 4 JAN: Seramai 9,296 individu menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud sepanjang Januari hingga November 2025 dengan jumlah kerugian mencecah RM1.37 bilion.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia, statistik menunjukkan golongan berusia 31 hingga 40 tahun paling ramai menjadi sasaran, membuktikan penjenayah siber menyasarkan individu produktif yang aktif berurusan secara digital.

“Orang ramai dinasihat supaya lebih berwaspada dan sentiasa menyemak kesahihan sebarang tawaran pelaburan sebelum membuat keputusan kewangan, khususnya melalui media sosial dan aplikasi pesanan segera,” menurut jabatan itu dalam kenyataan di Facebook.

Antara ciri penipuan pelaburan yang sering dikesan termasuklah:

  • janji pulangan tinggi dalam tempoh singkat - rendah atau tiada risiko

  • tekanan untuk bertindak segera - tawaran terhad atau ugutan

  • syarikat tidak berdaftar atau tidak berlesen.

  • guna individu berpengaruh untuk yakinkan mangsa.

PDRM menegaskan orang ramai digesa melakukan semakan dengan pihak berkuasa sebelum membuat pelaburan dan melaporkan sebarang tawaran mencurigakan bagi membendung kerugian lebih besar.

Apa reaksi anda?