SHAH ALAM, 4 JAN: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sepang menasihatkan pemilik yang mendakwa tanahnya dicerobohi sehingga terdapat binaan kuil segera mengambil tindakan undang-undang.
Tegas agensi itu, sebarang kerja perobohan struktur hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat perintah mahkamah sivil.
Jelasnya, ia kerana tindakan penguatkuasaan hanya terpakai bagi pencerobohan di atas tanah kerajaan, tanah rizab dan tanah perlombongan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) Akta 828.
“Bagi tanah milik persendirian, hak pemilikan, penjagaan serta tindakan terhadap sebarang bentuk pencerobohan terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab pemilik tanah seperti diperuntukkan dalam Seksyen 44(1)(a) Kanun Tanah Negara.
“Pencerobohan ke atas tanah persendirian adalah pertikaian sivil antara pemilik tanah dan penceroboh. Justeru, pemilik tanah bertanggungjawab memulakan prosiding serta tindakan undang-undang yang wajar,” menurut kenyataan itu di Facebook.
Pada masa sama, PDT Sepang menasihatkan pemilik tanah supaya membuat laporan polis sebagai dokumentasi rasmi dan keterangan awal bagi tujuan litigasi, selain melantik peguam.
Menurut kenyataan itu lagi, PDT Sepang menzahirkan komitmen untuk menangani isu pencerobohan tanah secara berhemah demi kepentingan umum, selain menasihatkan pemilik tanah agar mengelakkan sebarang tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau melakukan tindakan yang boleh mencetuskan kekeliruan serta kegusaran awam,” kata kenyataan itu lagi.
Semalam tular di media sossial, seorang pesara Suhaili Ahmad, 70, mendakwa tanah miliknya di Taman Topaz, Dengkil diceroboh.
Hasratnya untuk menjual tanah seluas kira-kira satu ekar terbantut selepas mendapati sebuah kuil dibina tanpa kebenaran di atas tanah tersebut.
Beliau berkata, kewujudan struktur itu hanya disedari ketika melawat tapak tanah terbabit baru-baru ini selepas menerima tawaran pembelian.
Kuil berkenaan didakwa dibina semula dan diperbesarkan di atas tanah yang dibelinya pada 2001 tanpa pengetahuannya, berikutan lokasi tanah yang jauh dari jalan utama serta jarang dilawati sejak bertahun lalu.







