Dua bot penumpang ditahan di perairan Pelabuhan Klang, bawa lebih muatan

2 Jan 2026, 10:53 AM
Dua bot penumpang ditahan di perairan Pelabuhan Klang, bawa lebih muatan
Dua bot penumpang ditahan di perairan Pelabuhan Klang, bawa lebih muatan
Dua bot penumpang ditahan di perairan Pelabuhan Klang, bawa lebih muatan

SHAH ALAM, 2 JAN: Dua bot penumpang yang membawa lebihan muatan penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Pelabuhan Klang, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kedua-dua bot ditahan aset ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin rondaan keselamatan di perairan Selangor.

Menurutnya, tangkapan dibuat sekitar jam 5.30 petang dan 5.50 petang di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, kedua-dua bot tersebut dikendali seorang nakhoda dan seorang kru melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 20 hingga 39 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot terbabit melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen dengan membawa lebihan penumpang.

“Kedua-dua bot masing-masing membawa 40 dan 42 penumpang, sedangkan jumlah maksimum penumpang yang dibenarkan mengikut syarat lesen hanyalah 32 dan 34 orang,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua bot bersama kesemua individu yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor bagi tindakan lanjut.

Abdul Muhaimin turut menegaskan pengusaha bot penumpang perlu sentiasa mematuhi syarat lesen serta peraturan yang ditetapkan sebelum menjalankan operasi.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi bagi memastikan keselamatan orang awam dan harta benda sentiasa terpelihara,” katanya.

Maritim Malaysia turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa peka dan mematuhi syarat sah lesen yang ditetapkan, selaras dengan usaha memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin.

Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau 999 untuk maklum balas segera.

Apa reaksi anda?