SHAH ALAM, 28 DIS: Seramai 12 lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam ditahan susulan kejadian merusuh menggunakan senjata di sebuah restoran di Taman Mount Austin, Johor Bahru, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata dua individu dilaporkan cedera di kepala, lengan dan betis serta calar di seluruh badan akibat kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati sekumpulan lelaki didakwa menyerang mangsa dengan menggunakan kerusi besi dan pisau pemotong daging.
"Motif kejadian dipercayai kerana perselisihan faham berkaitan hutang peribadi," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Raub berkata polis merampas tujuh telefon bimbit, sebilah pisau dan pakaian digunakan semasa kejadian selain giat mengesan suspek lain yang turut terlibat dalam kejadian itu.
Beliau berkata tujuh suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala enam positif dadah jenis ketamin.
Kesemua suspek lelaki direman selama tujuh hari manakala wanita tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.








