Punca kematian wadar penjara belum dikenal pasti - polis

19 Dis 2025, 4:35 AM
Punca kematian wadar penjara belum dikenal pasti - polis

SHAH ALAM, 19 DIS: Bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian wadar Penjara Penor, Kuantan yang ditemui maut selepas pulang melihat keadaan rumahnya dinaiki air di Taman Seri Inderapura, di sini semalam masih menunggu keputusan makmal.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Bagaimanapun, katanya punca kematian masih belum dapat dipastikan.

"Hasil bedah siasat, doktor masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar kematian atau 'Pending Investigation'.

"Sampel darah dan organ (tisu) akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ditanya kemungkinan Allahyarham Muhammad Hariri Kamarudin, 26 terkena renjatan elektrik ketika mengharung air banjir di ruang tamu rumahnya, Ashari berkata bedah siasat tidak dapat mengesahkan perkara itu.

Semalam, bapa mangsa pulang ke rumah selepas Allahyarham anaknya tidak pulang ke pusat penempatan sementara (PPS) dan mendapati Allahyarham anaknya ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam air kawasan ruang tamu rumah.

Sementara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Hariri.

Baginda berdua mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang, baginda berdua juga berharap segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah di atas kehilangan insan tersayang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.