SHAH ALAM, 17 DIS: Kenaikan kos sewaan rumah di Lembah Klang terus memberi tekanan ketara kepada golongan miskin bandar sekali gus menjadi cabaran terbesar Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam usaha membantu asnaf fakir dan miskin di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata kadar sewa rumah di kawasan bandar kini lazimnya melebihi RM1,000 sebulan, sedangkan bantuan sewa rumah yang mampu disalurkan LZS dihadkan sehingga maksimum RM800 sebulan.
“LZS tidak mampu menanggung keseluruhan kos sewaan rumah yang terlalu tinggi kerana setiap bantuan mempunyai had tertentu.
"Kita nasihatkan asnaf supaya berusaha mendapatkan pekerjaan secepat mungkin kerana matlamat kita bukan sekadar beri bantuan, tetapi membantu mereka berdikari,” katanya pada Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (Imtiyaz) semalam, lapor Sinar Harian.
Menurut Mohd Khaidzir, isu kemiskinan di Selangor kini lebih tertumpu kepada golongan miskin bandar khususnya di tiga daerah utama iaitu Petaling, Klang dan Gombak yang merekodkan jumlah asnaf tertinggi.
Katanya, LZS memerlukan tambahan lebih RM300 juta bagi memastikan agihan zakat berjumlah RM1.328 bilion dapat disalurkan menjelang hujung tahun ini dengan sebahagian besar bantuan melibatkan komitmen jangka panjang seperti sewa rumah, pendidikan dan kontrak sedia ada.
Pada majlis sama, Mohd Khaidzir turut memaklumkan setakat ini, LZS menyasarkan untuk membantu 80,000 ketua keluarga asnaf dengan 77,000 ketua keluarga telah menerima bantuan sepanjang tahun ini.










