Evolusi rasuah: Hadiah, sedekah pun boleh jadi suapan tanpa disedari

16 Dis 2025, 11:00 AM
Evolusi rasuah: Hadiah, sedekah pun boleh jadi suapan tanpa disedari

KLANG, 16 DIS: Rasuah kini berevolusi dalam bentuk semakin halus dan sukar dikesan, termasuk melalui amalan yang kelihatan biasa seperti pemberian hadiah, sedekah atau ‘kongsi rezeki’, sekali gus menuntut kewaspadaan lebih tinggi dalam masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, rasuah tidak lagi berlaku secara terang-terangan, sebaliknya hadir secara terselindung tanpa disedari.

Menurutnya, pemberian hadiah yang kelihatan ikhlas juga boleh berubah menjadi rasuah sekiranya wujud konflik kepentingan, terutamanya apabila seseorang memegang jawatan atau kuasa tertentu.

“Di sini yang kita kena faham dan kita kena cakna tentang ketika kita memegang sesuatu jawatan, sesuatu yang mungkin biasa pada kita sudah jadi berbeza ketika kita sedang memegang jawatan.

“Contoh kalau kita boleh terima hadiah itu seperti biasa. Tapi waktu kita ada jawatan, mungkin kita dah tidak boleh lagi terima hadiah kerana jawatan yang kita pegang. Itu antara perkara yang penting untuk kita lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Integriti Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata evolusi rasuah boleh difahami melalui konsep segitiga penipuan (fraud triangle) iaitu keperluan, ketamakan dan peluang yang sering menjadi pemula kepada berlakunya rasuah.

Beliau turut menasihatkan individu agar tidak membuat keputusan bersendirian apabila berdepan situasi meragukan, sebaliknya mendapatkan nasihat dan berkongsi pandangan bagi mengelak terjerumus dalam amalan tidak berintegriti.

“Bagaimana kita nak mengelakkan keadaan ini daripada berlaku adalah jangan buat keputusan sendiri. Ketika kita dalam keadaan begitu, sentiasa kongsikan dan minta pandangan.

“Bila kita dalam keadaan dilema, pemikiran kita merasakan itu adalah benda betul, sedangkan itu evolusi rasuah. Ia sudah bertukar bentuk menjadi sesuatu yang kita tidak perasan,” katanya.

Nurhayati menegaskan pembudayaan nilai moral dan etika yang kukuh adalah benteng utama dalam mengekang normalisasi rasuah dalam kehidupan seharian.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan kefahaman terhadap peranan 'whistleblower' dalam organisasi, bukan sebagai pencari kesalahan, tetapi melindungi kepentingan syarikat dan orang awam.

“Bukan kita nak letak pasir di periuk nasi orang, ia supaya kita boleh membetulkan perkara sebelum jadi sesuatu yang lebih parah.

“Jadi 'whistleblower' walaupun bukan kes rasuah, gangguan seksual dan sebagainya perlu diterangkan supaya tidak ramai orang lain lagi menjadi mangsa kepada apa saja pelakuan.

“Apa lagi ketika melibatkan duit syarikat yang kalau kita kata dalam bentuk dana awam. Mereka kena tahu, menjadi 'whistleblower' bukan untuk mencari salah orang tetapi menjalankan tanggungjawab menyelamatkan syarikat, dan mereka yang didedahkan juga kena tahu bahawa bukan sengaja hukuman itu nak diambil,” katanya.

Apa reaksi anda?