SHAH ALAM, 14 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Kembali ke Sekolah 2026 dengan sasaran 269 siri penganjuran di seluruh negara bermula 20 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sebanyak 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian terlibat dalam program ini, yang dijalankan secara dalam dan luar premis.
“Sepanjang cuti sekolah, pengguna boleh mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan dengan diskaun 10 hingga 30 peratus, termasuk pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis. Setiap lokasi menawarkan antara 45 hingga 80 Stock Keeping Unit (SKU),” katanya.
Orang ramai boleh rujuk Takwim PJRM di pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah untuk mengetahui tarikh dan lokasi penganjuran.
Armizan menambah, Kerajaan Madani memperuntukkan RM300 juta dalam Belanjawan 2026 bagi inisiatif Payung RAHMAH, termasuk PJRM, dan KPDN akan terus memperkasa pelaksanaan program ini dengan penambahbaikan kaedah serta liputan golongan sasar.








