AGENDA

Polis kenal pasti lelaki bergaduh di plaza tol Bukit Tambun

1 Jun 2025, 10:19 PM
Polis kenal pasti lelaki bergaduh di plaza tol Bukit Tambun

NIBONG TEBAL, 1 JUN: Polis telah mengenal pasti seorang daripada individu yang terlibat dalam insiden pergaduhan di Plaza Tol Bukit Tambun di sini yang dipercayai berpunca akibat perselisihan faham melibatkan kejadian pelanggaran kenderaan dari belakang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata ketika ini pihaknya sedang berusaha untuk mengesan lelaki tempatan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugut jenayah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, media melaporkan polis menerima dua laporan berkaitan pergaduhan membabitkan dua lelaki di plaza tol berkenaan selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Video berdurasi 28 saat itu memaparkan pertengkaran antara dua lelaki dengan seorang daripada mereka yang hanya berkain pelekat dan bertopi dilihat cuba menyerang menggunakan senjata sebelum kedua-dua mereka ditenangkan seorang individu yang berada di situ.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.