AGENDA

Sumbangan RM100,000 diserah kepada mangsa banjir, pusat tahfiz di Sungai Buloh

29 Apr 2025, 11:45 AM
Sumbangan RM100,000 diserah kepada mangsa banjir, pusat tahfiz di Sungai Buloh

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R Ramanan hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada mangsa banjir di Kampung Kubu Gajah dan Pusat Tahfiz Az Zahrah Lilbanat, Kampung Sungai Pelong.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata sumbangan hasil kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu merangkumi peralatan rumah seperti dapur, periuk nasi dan kipas kepada 150 keluarga terjejas akibat banjir di kawasan parlimen itu minggu lalu.

Beliau berkata bantuan barangan keperluan turut diberikan kepada pusat Maahad Tahfiz antaranya peti sejuk beku, pam air, sistem pembesar suara, dapur, rak besi dan tikar getah bagi membolehkan pelajar di institusi itu meneruskan pengajian dengan lebih selesa.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz (Pengarah Urusan AIM) dan barisan kepimpinan AIM atas kerjasama erat dan komitmen diberikan kepada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dalam memastikan bantuan dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.

"Ini bukan sekadar bantuan, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan terus komited membantu rakyat setiap masa, susah senang kita tetap bersama. Inilah semangat setia kawan prihatin di Sungai Buloh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan yang juga Ketua Cabang PKR Sungai Buloh berkata Kerajaan MADANI sentiasa komited membantu rakyat yang berdepan bencana dan akan memastikan tiada golongan terpinggir, selaras dengan usaha pemulihan pascabanjir secara telus dan menyeluruh.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.