AGENDA

Pelumba para negara ungguli ranking dunia berbasikal trek

5 Dis 2024, 9:25 AM
Pelumba para negara ungguli ranking dunia berbasikal trek

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Pelumba berbasikal para negara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin kini mengungguli ranking dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi acara trek.

Jurulatih berbasikal para kebangsaan Salehuddin Mohd Noh dalam satu kenyataan berkata ia berdasarkan kiraan mata dilakukan selepas temasya Paralimpik 2024 Paris, baru-baru ini.

Beliau berkata Mohamad Yusif Hafizi berkongsi 640 mata dengan pesaingnya dari China Li Zhang Yu dan Liang Weichong, masing-masing pemenang pingat emas dan perak acara acara 3,000 meter (m) kejar mengejar individu dan emas 1 kilometer (km) ujian masa temasya Paralimpik 2024.

“Namun, Mohamad Yusof Hafizi mempunyai kelebihan kerana menyertai kejohanan yang lengkap termasuk Class Continental Championships,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedudukan tersebut dijangka kekal hingga penghujung tahun ini kerana hanya tinggal beberapa kejohanan dalam kalendar perlumbaan UCI dengan kemungkinan besar tiada pelumba lain mampu memintas mata tersebut.

Bagi ranking acara lebuh raya, Mohamad Yusof Hafizi berada di kedudukan keenam serta masih mendahului pencabar terdekat daripada kalangan negara Asia iaitu China (Liang Weichong, ranking kesembilan dan Li Zhang Yu, 22).

Atlet berusia 26 tahun itu diletakkan sebagai atlet super elit dan menjadi tumpuan utama negara ke Sukan Paralimpik 2028 Los Angeles (LA28).

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.