AGENDA

Ahli Parlimen Korea Selatan sebulat suara undi batalkan undang-undang tentera

4 Dis 2024, 1:00 AM
Ahli Parlimen Korea Selatan sebulat suara undi batalkan undang-undang tentera

SEOUL, 4 DIS: Parlimen Korea Selatan pada Rabu meluluskan usul menuntut Presiden Yoon Suk Yeol membatalkan pengisytiharan undang-undang tentera, lapor agensi berita Yonhap.

Di bawah Perlembagaan, undang-undang tentera mesti dibatalkan apabila majoriti ahli parlimen menuntutnya.

Daripada 300 ahli parlimen, 190 hadir dalam sesi itu dan kesemuanya menyokong usul untuk menamatkan undang-undang tentera.

Dengan kelulusan usul itu, pengisytiharan undang-undang tentera kini terbatal, menurut pejabat Speaker Parlimen.

Dalam satu pengumuman mengejut menerusi siaran langsung televisyen pada lewat Selasa malam, Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera, dengan menuduh pembangkang melumpuhkan kerajaan melalui "aktiviti anti-negara yang merancang pemberontakan."

Yoon berkata keputusan untuk mengisytiharkan undang-undang tentera itu bertujuan untuk "membina semula dan melindungi" negara yang didakwanya sedang menghadapi cabaran besar.

Pengisytiharan itu membolehkan sekatan terhadap kebebasan tertentu, termasuk kebebasan akhbar, penerbitan, perhimpunan, serta kuasa kerajaan dan mahkamah.

Namun, undang-undang tentera boleh ditamatkan jika majoriti ahli parlimen menuntut pembatalannya.

-- BERNAMA-YONHAP

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.