AGENDA

Bayi patah tangan kiri, pendarahan kepala ketika di rumah pengasuh

14 Jun 2024, 7:57 AM
Bayi patah tangan kiri, pendarahan kepala ketika di rumah pengasuh

CHUKAI, 14 JUN: Seorang bayi perempuan berusia lima bulan patah tangan kiri dan mengalami pendarahan di kepala ketika berada dalam jagaan pengasuh di Paya Berenjut, Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku semalam selepas ibu mangsa menghantar bayi itu ke rumah pengasuh pada waktu pagi.

"Kira-kira 11 pagi, ibu mangsa menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan bayi itu demam. Ibu mangsa bergegas ke rumah pengasuh dan mendapati bayinya dalam keadaan tidak bermaya. Dia terus bawa bayi itu ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan dan rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Polis kemudian menerima laporan daripada pegawai perubatan pada 1.30 petang semalam dan mangsa dilaporkan stabil dan ditempatkan di wad untuk pemantauan serta rawatan lanjut.

Beliau berkata pengasuh itu akan dipanggil memberi keterangan dalam waktu terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.