AGENSI

Projek kitar semula dari rumah teres mula di dua zon Subang Jaya

1 Dis 2023, 3:00 AM
Projek kitar semula dari rumah teres mula di dua zon Subang Jaya

SHAH ALAM, 1 DIS: Program kitar semula sisa dari kawasan rumah teres sekitar Subang Jaya bermula hari ini membabitkan zon satu dan dua, maklum KDEB Waste Management.

Menurut pengarah urusannya, inisiatif baharu dengan kerjasama pejabat Dewan Undangan Negeri Subang Jaya menumpukan kawasan SS12 hingga SS19, Wangsa Baiduri, PJS 7,9 serta 11.

Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata bahan yang boleh dikitar semula hanya aluminium, plastik dan kertas kering dengan penduduk perlu mengasingkannya dalam beg yang ditetapkan.

"Sisa lain seperti perabot, alat elektronik, permainan, bungkusan makanan, pakaian dan perkakas pembinaan tidak dibenarkan.Kutipan akan dibuat tiga kali seminggu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah projek itu akan diperluas ke zon lain di Subang Jaya jika fasa pertama berjaya dalam tempoh tiga bulan bagi memupuk kesedaran penduduk berhubung kepentingan kitar semula.

“Kita percaya pendekatan yang dibuat mampu meningkatkan kadar kitar semula yang ketika ini mencatat 17 peratus,” kata Ramli lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.