SHAH ALAM, 30 OGOS: Skuad bola sepak negeri yang menjulang Piala Malaysia pada 1995 ditawar Rumah Idaman Selangor bernilai RM250,000, malam ini.
Simbolik penyerahan kunci rumah disampaikan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari kepada pemain dan wakil sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Pada 24 Jun tahun ini, Amirudin memaklumkan bekas pemain skuad Selangor yang menjulang Piala Malaysia pada 1995 menerima tawaran Rumah Idaman Abadi di Kajang 2, mukim Semenyih.
Pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-28 pada 11 November 1995 selepas menanti selama sembilan tahun apabila menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam.
Susulan itu, pemain dan pegawai skuad itu dijanjikan sebidang tanah berukuran 0.4 hektar oleh mantan Dato’ Menteri Besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib tetapi tidak ditunaikan menyebabkan mereka meminta Amirudin untuk mencari jalan penyelesaian.








