Awas! Makanan panas dalam bekas plastik tingkat risiko mikroplastik

26 Feb 2026, 1:01 AM
Awas! Makanan panas dalam bekas plastik tingkat risiko mikroplastik
Awas! Makanan panas dalam bekas plastik tingkat risiko mikroplastik
Awas! Makanan panas dalam bekas plastik tingkat risiko mikroplastik

SHAH ALAM, 26 FEB: Pembungkusan makanan panas dalam bekas plastik atau polistirena berisiko menyebabkan partikel plastik meresap ke dalam makanan dan seterusnya mendedahkan pengguna kepada mikroplastik.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Nurhayati Khairatun berkata mikroplastik ialah zarah plastik bersaiz sangat kecil, kurang daripada lima mikrometer.

Menurut beliau, zarah berkenaan boleh dilepaskan apabila bahan plastik terdedah kepada suhu tinggi, khususnya apabila bersentuhan secara langsung dengan makanan atau minuman panas.

“Walaupun mikroplastik tidak dapat dilihat dengan mata kasar, zarah ini boleh memasuki makanan dan seterusnya masuk ke dalam tubuh manusia tanpa disedari,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Plastik hitam, polistirena antara paling berisiko

Beliau menjelaskan, polistirena dan plastik hitam merupakan antara bahan pembungkusan paling berisiko kerana strukturnya mudah terurai serta tidak stabil apabila terdedah kepada haba.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Siti Nurhayati Khairatun (kanan) menjelaskan mengenai bahaya mikroplastik dalam program Bicara Semasa pada 9 Februari 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Plastik hitam bukan gred makanan kerana diperbuat daripada bahan kitar semula dan lazimnya digunakan sebagai pembungkus sampah. Penggunaannya untuk makanan panas mempercepatkan pelepasan mikroplastik.

"Kalau kita hidu, bau lebih kuat daripada plastik biasa. Jadi geng plastik hitam perlu tahulah. Pada bulan ini (Ramadan), tindakan ini membahayakan kesihatan. Ia lebih berisiko bila masukkan makanan ke dalam plastik hitam," katanya.

Tambah beliau, terdapat juga trend dalam kalangan peniaga yang gemar mengukus kek atau makanan menggunakan bekas plastik sebelum terus dibungkus dan dijual kepada pelanggan.

“Apabila suhu kukusan melebihi 100 darjah Celsius, struktur plastik menjadi tidak stabil dan berpotensi melepaskan mikroplastik secara langsung ke dalam makanan,” katanya.

Air botol tinggal dalam kereta juga berbahaya

Selain pembungkusan makanan, Siti Nurhayati turut mengingatkan orang ramai agar tidak minum air dalam botol plastik yang tertinggal di dalam kereta dalam tempoh lama.

Air dalam botol plastik yang tertinggal di dalam kereta sudah tidak selamat untuk diminum. Foto AI

“Suhu di dalam kereta boleh mencecah lebih 100 darjah Celsius. Keadaan ini boleh menyebabkan tindak balas kimia antara botol plastik dan air.

"Maksudnya air itu sudah tidak lagi selamat untuk diminum walaupun kuantiti dan rasanya tidak berubah. Jadi boleh buang teruslah," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai membawa bekas dan botol air sendiri yang diperbuat daripada kaca, seramik atau keluli tahan karat ketika membeli makanan di bazar Ramadan.

Pada masa sama, peniaga turut digalakkan membiarkan suhu makanan menurun sebelum dibungkus serta mengelakkan penggunaan polistirena dan plastik hitam.

“Langkah kecil ini mampu mengurangkan risiko pendedahan mikroplastik dan memberi perlindungan kesihatan yang lebih baik kepada pengguna,” katanya.