SHAH ALAM, 25 FEB: Festival Ramadan Selangor 2026 (FESTIRA 2026) kembali menyemarakkan suasana menjelang Aidilfitri tahun ini dengan sasaran kehadiran tiga juta pengunjung sepanjang penganjuran dari 30 Januari hingga 20 Mac.
Dato’ Menteri Besarberkata festival yang memasuki tahun ke-12 dengan penyertaan lebih 1,000 peniaga berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall, serta lokasi terbaharu, Aneka Walk Shah Alam.
Dato’ Seri Amirudin Shari menambah, lokasi baharu itu diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung, termasuk keluarga, anak muda dan pelancong, sekali gus meningkatkan kesan ekonomi kepada peniaga.

"Saya percaya dengan pelbagai program diatur bersama, termasuk solat Tarawih, aktiviti di sini tidak hanya berhenti selepas berbuka sebaliknya diteruskan hingga malam dengan jualan dan persembahan menarik.
"Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall mempunyai pengikut tersendiri dan pada minggu terakhir Ramadan, jualan akan dilanjutkan sehingga lewat malam," katanya.
Beliau menambah, Aneka Walk membawa elemen baharu dengan muzik dan persembahan secara langsung yang memberi pengalaman membeli-belah Aidilfitri serta aktiviti komuniti dalam suasana bandar terbuka dan berbumbung.
"Pendekatan ini menjadikan FESTIRA lebih daripada sekadar festival jualan bermusim, tetapi sebuah pengalaman bandar yang dinamik dan berimpak tinggi," tambah beliau ketika sidang media selepas merasmikan FESTIRA 2026, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Dato’ Mahmud Abbas.
FESTIRA 2026 disokong oleh rakan strategik rasmi termasuk PKNS Super App, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Bateriku.com.
Festival perayaan tahunan ini juga bertujuan menyokong agenda Kerajaan Negeri dalam membantu peniaga kecil menjana pendapatan, selaras dengan usaha memperkukuh ekonomi komuniti melalui aktiviti bazar Ramadan dan Aidilfitri.







