UNISEL pemacu pembangunan negeri, lahir sumber manusia berkualiti, berintegriti

22 Feb 2026, 2:53 PM
UNISEL pemacu pembangunan negeri, lahir sumber manusia berkualiti, berintegriti
UNISEL pemacu pembangunan negeri, lahir sumber manusia berkualiti, berintegriti
UNISEL pemacu pembangunan negeri, lahir sumber manusia berkualiti, berintegriti

KUALA SELANGOR, 22 FEB: Universiti Selangor (UNISEL) perlu terus diperkasa dan menjadi kunci kejayaan masa depan negeri menerusi pembangunan sumber manusia yang berkualiti, berdaya saing serta berintegriti.

Dato’ Menteri Besar berkata institusi pengajian tinggi merupakan aset strategik negeri dalam membentuk modal insan sekali gus menentukan hala tuju pembangunan jangka panjang Selangor.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, sektor pendidikan tinggi bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir, malah berperanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan pengukuh ekosistem ilmu yang menyokong kemajuan negara.

“Justeru, UNISEL perlu terus diperkasa dan dijadikan kunci kepada kejayaan masa depan negeri melalui pembinaan sumber manusia yang berkualiti, berilmu dan berintegriti,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Iftar Perdana Warga UNISEL di Kampus Bestari Jaya, di sini hari ini.

Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan sumbangan Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) kepada dua mahasiswa UNISEL serta menyerahkan watikah pelantikan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2026.

Dalam pada itu, beliau menegaskan UNISEL sebagai universiti milik Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan lebih signifikan dalam menyokong agenda pembangunan Selangor, khususnya melalui penyelidikan, inovasi dan penglibatan aktif bersama komuniti.

Katanya, kerjasama strategik antara universiti, industri dan masyarakat wajar diperkukuh bagi memastikan graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi keperluan semasa serta cabaran masa depan negeri.