Kes 'phone scam' naik mendadak, kerugian cecah RM27 juta

22 Feb 2026, 10:03 AM
Kes 'phone scam' naik mendadak, kerugian cecah RM27 juta

SHAH ALAM, 22 FEB: Kes penipuan telefon mencatat peningkatan membimbangkan dengan 481 kes direkodkan setakat Januari, peningkatan 46 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kes tersebut membabitkan kerugian mencecah RM27 juta, lapor Berita Harian.

"Kes penipuan telefon menunjukkan peningkatan yang membimbangkan pada Januari lalu berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

"Statistik menunjukkan kadar peningkatan kes sebanyak 46 peratus, manakala jumlah kerugian meningkat sehingga 58 peratus berbanding Januari 2025," katanya hari ini.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayan sebarang panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan paling penting tidak berkongsi sebarang maklumat perbankan atau peribadi kepada pihak yang tidak disahkan.

Katanya, pastikan membuat semakan menerusi saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket.

Rusdi berkata sindiket lazimnya menyamar sebagai pegawai daripada agensi penguatkuasaan, pegawai bank, syarikat kurier, atau agensi kerajaan untuk menghubungi sasaran.

Katanya, penjenayah akan mengugut dan cuba menakutkan mangsa bagi mencetuskan panik supaya sasaran mendedahkan maklumat sensitif seperti butiran perbankan dan sebagainya.

Sebarang maklumat atau pengesahan berkaitan penipuan boleh dilakukan menerusi talian NSRC 997 atau menerusi laman web semakmule.rmp.gov.my