SHAH ALAM, 21 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan Program Kick-off Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2026 yang dilaksanakan serentak di seluruh negara menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan berkata program tersebut menjadi platform memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan di tapak bazar Ramadan seluruh negara, susulan peningkatan jumlah gerai serta kehadiran pengunjung setiap tahun.
Beliau menegaskan KKM tidak akan berkompromi dengan peniaga yang gagal mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan.
“Bazar Ramadan adalah lubuk rezeki peniaga dan tempat orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa. Namun dalam soal kebersihan, KKM tidak akan berkompromi,” katanya.
Menurut beliau, pemantauan telah bermula sejak awal bulan ini di seluruh negara. Bagi tahun ini, KKM melaksanakan pemeriksaan menyeluruh membabitkan lebih 77,000 gerai di 1,274 tapak bazar termasuk pemeriksaan di kilang ais dan bufet hotel.
Semua pengendali makanan juga diwajibkan mendapatkan suntikan anti-tifoid serta menghadiri latihan pengendalian makanan bagi memastikan juadah yang dijual bersih dan selamat.
“Kita bukan mahu menyusahkan peniaga, sebaliknya mahu memastikan makanan yang dibeli rakyat benar-benar selamat untuk dimakan,” katanya.
Dalam usaha memperkasa kesedaran pengguna, KKM turut memperkenalkan kemudahan imbasan kod QR di bazar Ramadan. Inisiatif itu membolehkan pengunjung menyemak anggaran kadar kalori juadah serta mendapatkan tip kesihatan bagi membuat pilihan lebih bijak.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan prinsip ‘Perhati dan Pilih’ ketika membeli makanan serta menggunakan kaedah ‘Lihat, Hidu, Rasa’ sebelum menikmati juadah.
“Bazar meriah, perut selamat, ibadah pun lancar. Marilah kita jadikan bazar Ramadan tahun ini paling bersih dan selamat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemilik premis yang didapati menjual makanan basi sepanjang Ramadan boleh dikenakan kompaun di bawah Akta Makanan 1983.
Dr Dzulkefly berkata, setakat ini Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SiSPAA) hanya merekodkan satu aduan berkaitan kebersihan makanan di bazar Ramadan.
“Kita mungkin tidak dapat merasa semua makanan, tetapi kita masih ada deria untuk melihat dan menilai keadaan makanan. Ada juadah yang terdedah atau berisiko tinggi untuk cepat basi.
“Kita harap semua penyedia makanan bertanggungjawab terhadap apa yang dijual,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan orang ramai meluahkan kemarahan terhadap segelintir penjual bazar Ramadan yang didakwa tidak prihatin terhadap kualiti makanan dijual, malah berbau sehingga hilang selera untuk menikmati juadah berkenaan.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata Akta Makanan 1983 memperuntukkan kompaun kepada premis yang melanggar peraturan itu, manakala amaran diberikan kepada peniaga premis bermusim atau kecil-kecilan.




