SHAH ALAM, 21 FEB: Kerja penyedutan dan pembersihan sisa pencemar di Sungai Kabul, Semenyih giat dilaksanakan susulan insiden bau abnormal yang dikesan pada 19 Februari lalu.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan operasi di tapak dilaksanakan tanpa henti mengambil kira jumlah bahan pencemar dianggarkan sekitar 50 meter padu, limitasi tangki simpanan serta kesesuaian akses ke lokasi.
Katanya, pihak Indah Water Konsortium (IWK) cawangan Cyberjaya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd serta kontraktor yang dilantik bekerjasama di tapak menggunakan 10 lori tangki berkapasiti antara lima hingga 10 meter padu bagi kerja-kerja penyedutan sisa dan pembersihan.
"Sehingga jam 1 petang ini, kerja-kerja penyedutan dan pembersihan dianggarkan telah mencapai tahap 70 peratus," menurut agensi itu.
Dalam pada itu, pembersihan secara manual turut dilaksanakan serentak bagi memastikan lokasi-lokasi terlibat bebas daripada sebarang sisa dan baki pencemar yang berpotensi memberi risiko.
"Sasaran penyelesaian seluruh kerja-kerja penyedutan dan pembersihan di tapak ini dianggarkan akan selesai hari ini," katanya.
LUAS turut melaksanakan kawalan aliran pencemaran dan nyahbau di lokasi-lokasi terkesan di Sungai Kabul melalui perletakan serta penukaran oil boom dan oil pad secara berkala, selain penambahan activated carbon (AC) bermula semalam.
"Sebanyak tiga unit oil boom, tiga kotak oil pad dan 765 kilogram AC telah digunakan bagi membendung serta mengawal pencemaran di dalam sungai," katanya.
LUAS memaklumkan pelaksanaan intensif kerja di tapak dan pemantauan rapi di Sungai Kabul serta Sungai Semenyih diteruskan oleh semua pihak terlibat sehingga selesai.
"Situasi semasa adalah terkawal," menurut kenyataan sama.
Turut hadir memantau kerja-kerja di tapak ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai LUAS, Haslina Amer serta Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Adam Saffian Ghazali.







