Bengkel automotif di kawasan kediaman diarah pindah ke zon perindustrian ringan

21 Feb 2026, 2:30 AM
Bengkel automotif di kawasan kediaman diarah pindah ke zon perindustrian ringan

SHAH ALAM, 21 FEB: Semua bengkel automotif di Selangor yang beroperasi di kawasan kediaman diarahkan berpindah ke zon perindustrian ringan bagi mengurangkan gangguan kepada penduduk.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata langkah itu bertujuan menangani isu kesesakan, pencemaran bunyi serta penggunaan petak parkir awam oleh kenderaan pelanggan bengkel.

“Pemindahan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dengan notis peringatan akan diberikan terlebih dahulu kepada pengusaha bengkel untuk berpindah.

“Permohonan baharu hanya akan diluluskan sekiranya premis perniagaan terletak di kawasan perindustrian ringan,” katanya seperti dilapor The Star.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat susulan aduan penduduk berhubung bunyi bising enjin dan pertambahan kenderaan pelanggan sehingga menggunakan ruang parkir awam.

“Antara penyelesaiannya ialah memusatkan bengkel di zon perindustrian ringan, di mana susun atur boleh dirancang dengan lebih teratur untuk peralatan, ruang kerja dan penyimpanan,” katanya.

Suee Lim memaklumkan pengusaha sedia ada telah diberi taklimat mengenai perancangan berkenaan dan sebahagian besar mematuhi arahan, namun masih terdapat segelintir yang enggan berpindah.

“Pihak berkuasa tempatan akan memberi tempoh munasabah kepada pengusaha bengkel untuk berpindah dengan tarikh akhir yang dipersetujui.

“Namun, jika mereka masih berdegil dan enggan berpindah, pihak majlis terpaksa mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya tanpa memperincikan undang-undang berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali berkata Draf Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035 (Pindaan 1) menetapkan bengkel kenderaan hanya boleh diluluskan di kawasan perindustrian.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) tidak akan mengeluarkan lesen baharu bagi aktiviti berkenaan di kawasan pembangunan bercampur.

Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali. Foto Facebook MBSJ

“Tujuh permit sementara telah dikeluarkan di Taman Puncak Jalil dan Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan, bagi menyeragamkan operasi sedia ada. Jabatan Penguatkuasaan MBSJ turut mengeluarkan 379 notis kepada bengkel untuk berpindah di kawasan Subang Jaya,” katanya.

Di Shah Alam, Datuk Bandar ketika itu Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim memaklumkan pihaknya telah mengadakan sesi dialog bersama pengusaha pada November tahun lalu.

Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim. Foto MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM

“Sehingga Julai 2025, sebanyak 545 permohonan bengkel diterima MBSA.

“Daripada jumlah itu, 177 diluluskan, 142 diberikan lesen sementara bersyarat, 11 ditangguhkan dan 215 ditolak,” katanya.