Sebaik melangkah masuk, suasana kedengaran ceria. Di tengah-tengah ruang, ada taman permainan gelongsor dan buaian. Kelihatan anak-anak kecil bermain dan berlari girang. Gelak tawa berselang-seli.
Sememangnya Masjid Al-Ikhlas, Seskyen 13 di Shah Alam tidak menjadikan rumah ibadat itu sebagai zon eksklusif orang dewasa. Sebaliknya ia sebagai model masjid yang meruntuhkan tembok protokol ibadah dan keperluan sosial zaman moden.
Pengurusan masjid membina taman permainan di depan pintu utama dewan solat melalui wakaf dan sumbangan penduduk setempat. Ini menjadikan rumah Allah itu mesra keluarga, sesuai untuk segenap lapisan usia.
Langkah itu menjadikan masjid bukan sekadar tempat menunaikan ibadah semata-mata, sebaliknya jantung kegiatan kemasyarakatan. Begitu kata imam 3 masjid berkenaan, Mohd Nor Muazzam Sehat.
Beliau bersama pengurusan masjid mahu membuang tanggapan lapuk kononnya kanak-kanak sebagai pengacau ibadah, lalu dimarahi, dijeling atau disuruh diam saat berada di masjid.
"Mereka inilah pelapis yang akan mengimarah institusi agama pada masa depan, jadi kami mahu kanak-kanak yang datang ke masjid memahat memori indah apabila masuk ke masjid.
“Inilah yang kami mahu, masjid bukan sekadar tempat solat tetapi ruang untuk keluarga dan masyarakat,” katanya kepada Media Selangor.

Selain itu, Ruang Bestari iaitu perpustakaan mini didirikan di pintu masuk utama sejak dua tahun lalu. Ia sarat aneka bahan bacaan. Perpustakaan itu juga boleh diakses secara percuma pada bila-bila masa.
Ruang itu menjadi zon selamat buat kanak-kanak untuk meneroka ilmu dalam suasana santai selepas penat bermain. Ini sekali gus mengembalikan peranan masjid sebagai pusat pendidikan dinamik sepanjang zaman.
Kewujudan taman permainan dan perpustakaan mini itu secara tidak langsung memberi ruang kepada ibu bapa untuk lebih fokus kepada ibadah tanpa bimbang akan keselamatan anak mereka.
Imam 2 masjid berkenaan, Muhammad Syukri Yahya percaya pendekatan sedemikian berupaya menjadikan masjid tersebut sebagai rumah kedua dalam kalangan penduduk setempat.
Ibadah lebih tenang
"Taman permainan membuka peluang buat anak-anak kita untuk bergaul sesama mereka. Ia menjadi tarikan anak-anak untuk datang ke masjid walaupun mereka tidak beribadah," katanya.
Keunikan itu menggamit perhatian pempengaruh. Justeru, masjid itu kerap muncul di media sosial sebagai institusi agama mesra kanak-kanak. Tidak hairanlah, ada jemaah luar singgah membawa anak-anak untuk bersosial sementara menanti waktu solat atau mengikuti kuliah agama.
Hal ini diakui salah seorang pengunjung, Noraina Nashar. Beliau menyifatkan usaha tersebut langkah progresif yang amat diperlukan dalam mendepani cabaran sosial masa kini.
Isu kanak-kanak berbuat bising bukan alasan menjauhkan mereka dari masjid, lebih-lebih kanak-kanak masa kini terlalu terdedah kepada media sosial dan ketagihan peranti digital.
"Dengan adanya ruang seperti ini, anak-anak dapat belajar bergaul dengan rakan sebaya," katanya lagi.
Selain kemudahan tersebut, masjid itu juga menyediakan dewan nikah yang selesa, bilik kuliah dan dewan serba guna yang mampu menampung sehingga 300 jemaah bagi menjalankan pelbagai kegiatan kemasyarakatan.

Setiap kali Ramadan menjelma, kemeriahan di masjid ini begitu terasa. Selain telatah kanak-kanak, amalan berbuka puasa beramai-ramai bagaikan tradisi saban tahun.
Lebih 1,000 pek juadah berbuka disediakan setiap hari. Pada 16 malam terakhir pula dimeriahi dengan penyediaan juadah sahur buat jemaah yang beriktikaf di situ.
Keunikan masjid itu juga setakat aspek kemasyarakatan. Seni bina kontemporarinya turut mencuri perhatian ramai termasuk jemaah dari luar Selangor. Tanpa kubah tradisional, bangunan itu tampil dengan reka bentuk minimalis yang menggunakan bumbung rata.
Laluan pejalan kaki pula dihiasi landskap segar yang dipenuhi tumbuhan menjalar. Ini sekali gus mewujudkan rasa damai dan tenang buat sesiapa jua yang melangkah ke pekarangan masjid tersebut.



